Jom klik iklan

Saturday, January 19, 2013

Sayang anak ke tidak?

         Kebelakangan ini saya rasa semakin menyampah dengan budak-budak yang berlumba motosikal di depan rumah saya. Umur mereka dalam lingkungan 10 hingga 15 tahun asyik 'mempress motor' (kata orang Sarawak) hingga membingitkan telinga. Hampir setiap hari bermula pukul 6 petang dan paling hebat pada pukul 8 malam hingga 12 malam mereka berlumba sesama sendiri. Hairan bin ajaib, mana mak bapa mereka yang tidak ambil kisah anak-anak ini berlumba dengan motosikal? Lagi menghairankan macamana mereka boleh menunggang motosikal yang memang sah mereka tidak ada lesen untuk menggunakannya? Bagaimana ibu bapa boleh membiarkan motosikal mereka digunakan oleh anak-anak bawah umur ini sesuka hati mereka sahaja? Ada di antara motosikal ini sengaja diubahsuai supaya tidak mempunyai lampu di depan dan belakang motosikal tersebut. Pernah kami hampir berlanggar dengan motosikal tiada lampu ini kerana ia tidak kelihatan pada waktu malam. Sungguh menyakitkan hati jika berlaku perlanggaran bukan sahaja kereta saya yang rosak,nyawa juga mungkin melayang. Jika perkara itu berlaku,siapa yang patut dipersalahkan?

       Saya sering melihat kanak-kanak seawal usia 9 tahun sudah berani menunggang motosikal. Bayangkan, mana mungkin pada usia tersebut mereka sudah ada lesen. Tapi kebanyakan ibu bapa hanya membiarkan anak-anak mereka seawal usia tersebut menunggang motosikal dengan alasan mudah menyuruh mereka ke kedai. Wah, apa lagi,budak-budak seusia itu pasti akan berasa bangga dapat menggunakan motosikal ke mana sahaja dengan alasan sudah pandai menunggangnya. Pastikah ibu bapa kanak-kanak terbabit anak mereka memahami undang-undang jalan raya dan boleh mengawal kenderaan yang mereka tunggang? Ada ibu bapa yang begitu mudah membiarkan anak-anak mereka menunggang motosikal bersama adik-adik atau kawan-kawan mereka sehingga 4 orang pembonceng sekali gus. Ada juga ibu bapa yang berbangga anak mereka sudah boleh menunggang motosikal dan boleh diharap untuk menghantar adik ke sekolah atau kelas petang. Begitu mudah mereka mengadai nyawa anak-anak mereka sendiri.

        Pernah juga saya bertanya mengapa dibiarkan anak-anak itu menggunakan motosikal untuk merempit selain daripada untuk mengambil adik-adik mereka dari sekolah. Jawapan ibu bapa yang rasa dirinya penyayang itu ialah anak mereka sendiri yang mengambil kunci atau anak mereka tidak dapat dihalang dari menggunakan motosikal tersebut. Hello...budak belum bersunat itu pun mak bapa dah takut maka tidak hairanlah kalau sudah besar nanti kaki naik ke kepala...Ada juga ibu bapa yang memperuntukan sebuah motosikal untuk anak-anak mereka gunakan. Maklumlah motosikal sekarang dah murah jadi bagi mereka apa salahnya anak-anak mereka menggunakan motosikal tersebut. Langsung mereka tidak fikirkan akibat jika berlaku kecelakaan. Siapa yang mereka akan persalahkan?Jika anak mereka pula terlanggar orang lain bagaimana pula? Sekarang ini kereta pun ibu bapa biarkan anak-anak tanpa lesen gunakan. Bagi mereka itulah petanda kasih sayang dari ibu bapa. Persoalan saya,betulkah mereka sayang anak mereka?Tepuk dada tanya selera.....

No comments:

Post a Comment